Jumlah Paparan Halaman

Mengenai Saya

Isnin, 28 Mei 2012

(41) Daftar Kata Sosiolinguistik



Daftar Kata
Keterangan
Bahasa kacukan
Bahasa yang bercampur aduk, bukan campur aduk variasi bahasa yang sama, tetapi campur aduk unsur daripada bahasa yang berbeza. Pergaulan manusia dari berbagai-bagai-bagai pelosok dunia mulai awal abad Masihi dan mungkin juga sebelum itu membawa kepada percampuran unsur-unsur heterogenus ke dalam bahasa yang menerima unsur-unsur itu.
Bahasa Kreol
Bahasa Melayu mengambil kata Kreol daripada bahasa Inggeris Creol yang membawa makna orang yang mempunyai darah kacukan bangsa Eropah (berkulit putih) dan bangsa berkulit hitam, dan kata ini mula digunakan di Kepulauan Carribean di bawah pemerintahan Sepanyol. Sebenarnya bahasa Inggeris mengambil kata berkenaan daripada bahasa Sepanyol criollo. Apabila kata berkenaan digunakan untuk menggambarkan gejala percampuran bahasa, maka rujukannya ialah bahasa yang lahir sebagai bahasa ibunda kepada sesuatu komuniti, hasil daripada percampuran antara kaum, mungkin melalui perkahwinan campur.
Bahasa pasar
Tutur yang kedengaran digunakan oleh penutur pelbagai bangsa di pelabuhan-pelabuhan lebih dikenali sebagai bahasa pasar. Sebagai bahasa pasar, tutur ini dianggap tidak stabil kerana ada kemungkinan bangsa yang terlibat dalam komunikasi itu bertukar ganti; ada kalanya orang Melayu dengan Cina, Cina dengan India, Melayu dengan Eropah, Cina dengan Eropah, serta Melayu, Cina, dan India. Oleh sebab itu bahasa yang digunakan tidak sempat mempunyai sistem dan struktur yang mantap.  Gejala bahasa pasar terdapat di merata dunia, terutamanya di bandar-bandar pelabuhan. Dalam ilmu linguistik, istilah yang digunakan untuk bahasa pasar ialah bahasa pijin.
Campur kod
Campur kod bermakna sesuatu pertuturan yang dihasilkan oleh seseorang yang mempunyai bahasa asas, tetapi disisipi dengan kata atau ungkapan daripada bahasa-bahasa lain, dan struktur ayatnya tetap dalam bahasa asas berkenaan. Campur kod ini ada segi positif dan negatifnya.
Bahasa rojak
Bahasa rojak ialah campur kod yang tidak diterima baik oleh masyarakat bahasa. Sikap negatif ini timbul kerana masyarakat memandangnya sebagai merosakkan bahasa. Nama “rojak” diberi sebagai metafora kepada cara pertuturan berkenaan kerana tidak ada peraturan tertentu dalam campur aduk itu seperti halnya dengan rojak yang kita makan. Lebih penting lagi ialah tidak ada sebabnya penutur mencampuradukkan bahasa kerana kata atau ungkapan asing yang dimasukkan ke dalam pertuturannya merupakan kata dan ungkapan sehari-hari yang ada dalam bahasanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan