Jumlah Paparan Halaman

10253

Mengenai Saya

Jumaat, 4 Mei 2012

(40) Entri Terakhir – Identiti Bangsa Melalui Bahasa



 Hari ini saya ingin menuliskan sesuatu yang lebih berat buat para pembaca blog saya. Diharapkan bahawa kita akan memajukan bahasa kebangsaan kita, iaitu bahasa Melayu kerana hancurlah bahasa, hancur pula bangsanya.

 Sejak zaman perjuangan yang berteraskan nasionalisme, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan memberi identiti kepada bangsa Malaysia. Satu bahasa peribumi telah dipilih untuk tujuan itu, dan bahasa ini telah tersebar luas dalam geolinguistik alam Melayu berabad-abad lamanya. Bukan setakat itu sahaja, bahasa ini juga menjadi pengantar sastera tinggi, agama dan falsafah, adab (etika), dan hukum kanun bagi semua negeri Melayu. Ringkasnya, bahasa Melayu telah berperanan sebagai bahasa peradaban tinggi sesuai dengan perkembangan sosial masyarakatnya pada zaman-zaman tertentu dan pada zaman selepas kemerdekaan, peranannya sebagai bahasa peradaban tinggi diperluas dengan penggunaan bahasa ini sebagai bahasa akademik/saintifik.

 Kesimpulan yang dapat dibuat ialah identiti bangsa Melayu yang memiliki bahasa yang berperanan sebagai bahasa peradaban tinggi sudah wujud lama sebelum kemerdekaan Malaysia dari penjajahan British. Apabila identiti merupakan sebahagian daripada kewujudan bangsa Melayu, hal ini tidak perlu dibincangkan dan tidak pernah menjadi bahan pemikiran sehingga wujudnya nasionalisme, kerana nasionalisme tidak terhad kepada orang Melayu. Dalam negara berbilang bangsa dan bahasa ini, identiti yang berteraskan bahasa Melayu tidak menjadi masalah bagi orang Melayu, tetapi bukanlah satu perkara yang mudah diterima oleh kaum-kaum lain seperti yang dibuktikan oleh Peristiwa 13 Mei 1969. Walau bagaimanapun, peredaran masa yang diisi oleh program-program pemupukan semangat kebangsaan telah menunjukkan bahawa etos identiti ini secara beransur-ansur terbina dalam psike kaum-kaum lain.

~Darah hanyir mengalir dari mulutku~

MUSNAH BAHASA, PUNAHLAH BANGSA!!!!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan