Jumlah Paparan Halaman

Mengenai Saya

Jumaat, 9 Mac 2012

(5) Saya Cukup Marah Dengan Bahasa Rojak


     Isu bahasa rojak bagai cendawan tumbuh selepas hujan. Penggunaan bahasa rojak berada di mana-mana sahaja. Bahasa rojak digunakan secara meluas terutamanya dalam kalangan remaja bandar di Malaysia. Perkara ini cukup membimbangkan ahli-ahli bahasa yang berjuang tentang bahasa selama ini kerana bahasa rojaklah yang akan menyebabkan bahasa kebangsaan kita tidak dapat berkembang maju. 

     Bahasa rojak sebenarnya merupakan suatu percakapan yang menakrifkan pelbagai campuran bahasa dalam satu pertuturan. Sebagai contohnya, Manglish, iaitu seketika menggunakan kata-kata dalam bahasa Melayu dan seketika lagi pula menggunakan bahasa Inggeris. 

     Apabila dikaji balik, seawal zaman Kesultanan Melayu Melaka sudah bermulanya penggunaan bahasa rojak apabila sebuah entrepot antarabangsa didirikan oleh Parameswara pada tahun 1402 di Melaka. Pelabuhan ini telah menarik ramai pedagang dari pelbagai bangsa dan budaya yang secara keseluruhannya bertutur lebih daripada 80 bahasa. Oleh itu, pedagang dunia dan pedagang tempatan sudah biasa menggunakan pelbagai bahasa dalam satu pertuturan.

    Dahulu di sekolah, saya banyak terjumpa dengan kawan-kawan saya yang bercakap dalam bahasa rojak. Contohnya:
1. Kau memang terror (hebat) lah! (Bahasa Melayu campur dengan bahasa Inggeris)
2. Apasal (kenapa) lu buat kerja cincai-cincai (tidak sempurna)? (Bahasa Melayu dengan bahasa Cina)

     Antara isu bahasa rojak yang lain:
  • TV3 telah menukar nama Karnival Sure Heboh menjadi Karnival Jom Heboh.
  • Majalah komik seperti majalah Ujang dan Apo menggunakan perkataan atau frasa yang ditulis dalam bahasa rojak.
  • Trend penggunaan bahasa rojak dalam kata-kata seharian kita seperti "dorang", "kitorang", "glamour", dan sebagainya.
     Sudah tiba masanya kita sebagai guru bahasa Melayu mengambil tindakan yang tegas terhadap murid-murid kita supaya boleh membetulkan bahasa mereka ke jalan yang lebih betul. Jangan sampai bahasa Melayu kita menjadi bahasa yang dicampuradukkan daripada pelbagai bahasa lain. Hal ini sememangnya akan menjejaskan nama baik negara kita.

~Darah hanyir mengalir dari mulutku~

Tiada ulasan:

Catat Ulasan