Jumlah Paparan Halaman

Mengenai Saya

Isnin, 23 April 2012

(31) Kesantunan Bahasa 1 - Pengenalan



 Sesuatu komuniti bahasa mempunyai peraturan sosialnya sendiri dalam penggunaan bahasa sehari-hari. Peraturan sosial ini mesti dipatuhi untuk menjaga hubungan baik antara penutur bahasa semasa berkomunikasi antara satu sama lain di samping untuk menjaga kesantunannya. Peraturan sosial dalam penggunaan bahasa bagai mana-mana komuniti bahasa diasaskan pada taraf orang yang bercakap dengan orang yang dilawan bercakap dan situasi berlangsungnya sesuatu percakapan.

 Perbezaan taraf antara mereka itu memerlukan pemilihan kata-kata tertentu untuk merujuk kepada diri sendiri atau diri orang yang dilawan bercakap. Dalam hal ini, penggunaan ungkapan hormat seperti gelaran merupakan syarat yang perlu dipatuhi. Dalam situasi tertentu dan dengan taraf tertentu, pemilihan kata melibatkan juga kata-kata yang merujuk kepada benda, perbuatan, atau sifat tertentu.

 Ragam bahasa yang mementingkan perbezaan taraf sosial ini dikenali sebagai variasi sosial. Biasanya dikatakan bahawa sesuatu variasi sosial wujud berdasarkan siapa bercakap dengan siapa, apa yang dicakapkan, dan bagaimana situasinya.

 Perbezaan taraf sosial boleh dilihat dari segi kelas sosial, hubungan keluarga, hubungan dalam jawatan, hubungan dalam sistem kemasyarakatan dan keagamaan. Perbezaan taraf demikian mewujudkan peraturan sosiolinguistik dalam hubungan antara anggota kelas yang berbeza. Kepatuhan kepada peraturan itu memastikan adanya kesopanan dalam interaksi kebahasaan, sedangkan pelanggaran peraturan itu boleh menggambarkan adanya sikap tidak sopan pada salah satu pihak.

 Ahli-ahli sosiologi melihat kelas sosial sebagai kedudukan tertentu dalam tatatingkat sosial. Pada amnya diwujudkan kelas atasan, menengah, dan bawahan dan pewujudan kelas sosial ini boleh berdasarkan sejarah pemerintahan zaman dahulu dengan adanya golongan aristokrat (bangsawan) sebagai lawan orang biasa, atau berdasarkan golongan yang berada sebagai lawan yang tidak berada, dan yang terpelajar sebagai lawan yang tidak terpelajar.

 Menurut Ervin-Tripp, terdapat 3 rumus dalam sistem sapaan


            i.   Rumus alternasi

·        Dalam rumus ini, seseorang akan memilih salah satu daripada pasangan seperti antara kanak-kanak atau orang dewasa; diketahui namanya atau tidak, bergelar atau tidak, tua atau muda, di dalam suasana status yang menonjol atau tidak, berpangkat atau tidak, dan lain-lain. Contohnya, Yang Berhormat yang merupakan gelaran kepada orang yang dipilih melalui proses tertentu seperti Wakil Rakyat, Menteri, Timbalan Menteri, Setiausaha Parlimen, Ahli Dewan Rakyat, dan Perdana Menteri.


ii.  Rumus kejadian bersama

·        Sesuatu rujukan kehormat mesti disesuaikan dengan kedudukan orang yang disapa. Dalam bahasa Melayu, terdapat rujukan kehormat yang mesti dipakai pada tempat yang telah ditetapkan.


iii. Rumus perurutan

·        Dalam rumus perurutan, terdapat susunan kata-kata sapaan yang dimulai dengan rujukan kehormat kepada gelaran yang disandang dan selepas itu nama peribadi yang disapa. Gelaran yang dimiliki, jika lebih daripada satu, perlu diatur mengikut kaedah yang biasa atau ditetapkan penggunaannya. Contohnya, Yang berbahagia Tan Sri Datuk Profesor Doktor Khairul bin Bahari.

 Ketiga-tiga rumus ini akan dihuraikan dan diberikan contoh dalam entri-entri yang akan dikongsikan sepanjang minggu ini. 

~Darah hanyir mengalir dari mulutku~

Tiada ulasan:

Catat Ulasan