Bahasa basahan ialah bahasa yang digunakan dalam perbualan
sehari-hari antara penutur yang cekap berbahasa Melayu, terutamanya penutur
asli. Variasi ini tidak digunakan dalam tulisan, kecuali dalam dialog drama
atau dialog yang merupakan sebahagian daripada novel atau cerpen.
Berbeza dengan bahasa formal, bahasa basahan tidak
menggunakan seluruhnya ciri-ciri formal yang ada dalam bahasa. Dengan itu,
dalam bahasa basahan, ayat-ayatnya tidak panjang, dan sebahagian besarnya
terdiri daripada ayat selapis. Ayat-ayat selapis pun sering juga dipendekkan,
misalnya dengan menghilangkan bahagian-bahagian tertentu, seperti subjek,
predikat, atau adverba menurut yang sesuai dengan jalan perbualan.
Bahasa basahan bukan bahasa yang tidak baik, atau yang melanggar
peraturan nahu. Dalam bahasa basahan juga dimasukkan kata pinjaman daripada
bahasa asing atau juga kata dialek tanpa merosakkan jalan bahasa.
Perbualan dalam dialek juga boleh dianggap sebagai bahasa
basahan kerana dialek-dialek seperti dialek Kedah, Perak, Kelantan, Sarawak,
dan sebagainya adalah bahasa Melayu. Dalam dialek banyak ciri formal
ditiadakan.
Contoh kata dalam bentuk yang dipendekkan adalah kata tugas tu (itu), ni (ini), nak (hendak), dah (sudah), tak (tidak), kan (bukan),
ke (kah), dan kata penghubung tapi (tetapi). Oleh sebab ayat dalam
bahasa basahan adalah pendek-pendek, maka sering pula subjek dan kadangkala
predikat dalam ayat ditiadakan. Misalnya, dalam ayat Ke dusun?, subjek dihilangkan. Kata kerja dalam bahasa basahan
kerap kali tidak diberi imbuhan terutamanya awalan, seperti dalam ayat Takkan anak saya buat macam itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan