Jumlah Paparan Halaman

10248

Mengenai Saya

Rabu, 2 Mei 2012

(38) Perancangan Korpus Bahasa (3) – Perancangan Istilah



 Dalam konteks perancangan korpus bahasa Melayu, perancangan perbendaharaan kata khususnya merupakan perancangan istilah. Istilah ialah kata atau gabungan kata yang mendukung konsep khusus dalam bidang-bidang ilmu.

 Perancangan istilah bermakna pembinaan istilah dalam bidang ilmu menurut sistem bahasa yang ada secara teratur supaya peraturan yang digunakan bagi satu bidang ilmu diterapkan juga dalam bidang-bidang ilmu yang lain.

 Pembinaan istilah dalam bahasa Melayu bermula dengan wujudnya Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada tahun 1956, tetapi usaha dalam pembinaan istilah berjalan dengan rancaknya mulai awal tahun 1960-an. Jawatankuasa bagi bidang-bidang ilmu tertentu, seperti sains, ekonomi, dan linguistik telah ditubuhkan oleh DBP untuk menggubal istilah bagi masing-masing bidang ilmu. Ahli-ahli jawatankuasa itu terdiri daripada pensyarah universiti dan maktab perguruan. Oleh sebab sehingga tahun 1969 hanya ada satu universiti di Malaysia, maka ahli-ahli yang menganggotai jawatankuasa istilah adalah dari Universiti Malaya sahaja.

 Jumlah jawatankuasa mula bertambah selepas tahun 1972 dengan bertambahnya bidang ilmu yang diajar dalam bahasa Melayu apabila ditubuhkan Universiti Sains Malaysia (1969) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (1970). Pada masa yang sama, universiti-universiti tempatan juga mempunyai jawatankuasa istilahnya sendiri dalam usaha memenuhi keperluan pengajaran bidang-bidang ilmu yang ditawarkan melalui bahasa Melayu. Tidak ada satu pedoman pembentukan istilah yang diikuti bersama oleh jawatankuasa-jawatankuasa ini. Masing-masing mempunyai kaedah sendiri. Pedoman umum yang diikuti oleh semua ahli jawatankuasa baru dibentuk bersama oleh Malaysia dan Indonesia dalam Majlis Bahasa Indonesia-Malaysia (MBIM) pada tahun 1975.

~Darah hanyir mengalir dari mulutku~

Tiada ulasan:

Catat Ulasan