Hal-hal yang
bersabit dengan penggunaan bahasa termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan
(kini Perlembagaan Malaysia). Dasar bahasa ialah peraturan pemilihan bahasa
dalam penggunaannya dalam masyarakat untuk mewujudkan kecekapan dalam
pengurusan dan pentadbiran negara. Dasar bahasa juga melibatkan pemberian taraf
dan peranan bahasa-bahasa yang ada dalam negara.
Dasar bahasa
kebangsaan Malaysia dinyatakan dalam Artikel 152 Perlembagaan Persekutuan.
Artikel ini dengan jelas menyatakan bahawa bahasa kebangsaan Malaysia adalah
bahasa Melayu. Dengan bahasa kebangsaan dimaksudkan bahasa yang merupakan
lambang kedaulatan negara, dalam erti kata bahawa bahasa inilah yang menjadi
lambang identiti negara, sama halnya dengan bendera kebangsaan dan lagu
kebangsaan.
Dasar bahasa rasmi ialah
dasar yang menyatakan bahasa-bahasa yang boleh digunakan dalam situasi rasmi
dalam kehidupan sesuatu negara. Misalnya, bahasa rasmi digunakan dalam upacara
rasmi seperti ucapan pembukaan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri, perbahasan
di Parlimen dan Dewan Undangan Negeri, pertabalan Yang di-Pertuan Agong dan
Raja-Raja Melayu, upacara rasmi yang diadakan oleh badan kerajaan dan badan
berkanun, serta juga tulisan rasmi seperti surat rasmi dan laporan yang
dikeluarkan oleh badan-badan berkenaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan