Daftar Kata
|
Keterangan
|
Bahasa kacukan
|
Bahasa yang bercampur aduk, bukan campur aduk variasi
bahasa yang sama, tetapi campur aduk unsur daripada bahasa yang berbeza. Pergaulan
manusia dari berbagai-bagai-bagai pelosok dunia mulai awal abad Masihi dan
mungkin juga sebelum itu membawa kepada percampuran unsur-unsur heterogenus
ke dalam bahasa yang menerima unsur-unsur itu.
|
Bahasa Kreol
|
Bahasa Melayu mengambil kata Kreol daripada bahasa Inggeris Creol yang membawa makna orang yang mempunyai darah kacukan
bangsa Eropah (berkulit putih) dan bangsa berkulit hitam, dan kata ini mula
digunakan di Kepulauan Carribean di bawah pemerintahan Sepanyol. Sebenarnya
bahasa Inggeris mengambil kata berkenaan daripada bahasa Sepanyol criollo. Apabila kata berkenaan digunakan
untuk menggambarkan gejala percampuran bahasa, maka rujukannya ialah bahasa
yang lahir sebagai bahasa ibunda kepada sesuatu komuniti, hasil daripada
percampuran antara kaum, mungkin melalui perkahwinan campur.
|
Bahasa pasar
|
Tutur yang kedengaran digunakan oleh penutur pelbagai
bangsa di pelabuhan-pelabuhan lebih dikenali sebagai bahasa pasar. Sebagai
bahasa pasar, tutur ini dianggap tidak stabil kerana ada kemungkinan bangsa
yang terlibat dalam komunikasi itu bertukar ganti; ada kalanya orang Melayu
dengan Cina, Cina dengan India, Melayu dengan Eropah, Cina dengan Eropah,
serta Melayu, Cina, dan India. Oleh sebab itu bahasa yang digunakan tidak
sempat mempunyai sistem dan struktur yang mantap. Gejala bahasa pasar terdapat di merata
dunia, terutamanya di bandar-bandar pelabuhan. Dalam ilmu linguistik, istilah
yang digunakan untuk bahasa pasar ialah bahasa pijin.
|
Campur kod
|
Campur kod bermakna sesuatu pertuturan yang dihasilkan
oleh seseorang yang mempunyai bahasa asas, tetapi disisipi dengan kata atau
ungkapan daripada bahasa-bahasa lain, dan struktur ayatnya tetap dalam bahasa
asas berkenaan. Campur kod ini ada segi positif dan negatifnya.
|
Bahasa rojak
|
Bahasa rojak ialah campur kod yang tidak diterima baik
oleh masyarakat bahasa. Sikap negatif ini timbul kerana masyarakat
memandangnya sebagai merosakkan bahasa. Nama “rojak” diberi sebagai metafora
kepada cara pertuturan berkenaan kerana tidak ada peraturan tertentu dalam
campur aduk itu seperti halnya dengan rojak yang kita makan. Lebih penting lagi
ialah tidak ada sebabnya penutur mencampuradukkan bahasa kerana kata atau
ungkapan asing yang dimasukkan ke dalam pertuturannya merupakan kata dan
ungkapan sehari-hari yang ada dalam bahasanya.
|
Jumlah Paparan Halaman
Mengenai Saya
Isnin, 28 Mei 2012
(41) Daftar Kata Sosiolinguistik
Jumaat, 4 Mei 2012
(40) Entri Terakhir – Identiti Bangsa Melalui Bahasa
Hari ini saya ingin menuliskan sesuatu yang lebih berat buat
para pembaca blog saya. Diharapkan bahawa kita akan memajukan bahasa kebangsaan
kita, iaitu bahasa Melayu kerana hancurlah bahasa, hancur pula bangsanya.
Sejak zaman perjuangan yang berteraskan nasionalisme, bahasa
Melayu sebagai bahasa kebangsaan memberi identiti kepada bangsa Malaysia. Satu
bahasa peribumi telah dipilih untuk tujuan itu, dan bahasa ini telah tersebar
luas dalam geolinguistik alam Melayu berabad-abad lamanya. Bukan setakat itu
sahaja, bahasa ini juga menjadi pengantar sastera tinggi, agama dan falsafah,
adab (etika), dan hukum kanun bagi semua negeri Melayu. Ringkasnya, bahasa Melayu
telah berperanan sebagai bahasa peradaban tinggi sesuai dengan perkembangan
sosial masyarakatnya pada zaman-zaman tertentu dan pada zaman selepas
kemerdekaan, peranannya sebagai bahasa peradaban tinggi diperluas dengan
penggunaan bahasa ini sebagai bahasa akademik/saintifik.
Kesimpulan yang dapat dibuat ialah identiti bangsa Melayu
yang memiliki bahasa yang berperanan sebagai bahasa peradaban tinggi sudah
wujud lama sebelum kemerdekaan Malaysia dari penjajahan British. Apabila
identiti merupakan sebahagian daripada kewujudan bangsa Melayu, hal ini tidak
perlu dibincangkan dan tidak pernah menjadi bahan pemikiran sehingga wujudnya
nasionalisme, kerana nasionalisme tidak terhad kepada orang Melayu. Dalam
negara berbilang bangsa dan bahasa ini, identiti yang berteraskan bahasa Melayu
tidak menjadi masalah bagi orang Melayu, tetapi bukanlah satu perkara yang
mudah diterima oleh kaum-kaum lain seperti yang dibuktikan oleh Peristiwa 13
Mei 1969. Walau bagaimanapun, peredaran masa yang diisi oleh program-program
pemupukan semangat kebangsaan telah menunjukkan bahawa etos identiti ini secara
beransur-ansur terbina dalam psike kaum-kaum lain.
~Darah hanyir mengalir dari mulutku~
MUSNAH BAHASA, PUNAHLAH BANGSA!!!!
Khamis, 3 Mei 2012
(39) Perancangan Korpus Bahasa (4) – Pembinaan Istilah di bawah MBIM dan MABBIM
Pembinaan istilah dalam bahasa Melayu yang betul-betul
terancang baru dimulakan pada tahun 1975, dengan wujudnya Pedoman Umum Pembentukan Istilah Bahasa Malaysia (PUPIBM) yang
diusahakan oleh Malaysia dan Indonesia. Pedoman ini dibentuk dengan adanya Pedoman Ejaan bersama bagi kedua-dua
negara berkenaan. PUPIBM telah
dilancarkan secara serentak di Kuala Lumpur dan Jakarta pada 30 Ogos 1975.
Pedoman pembentukan istilah
adalah sama dari segi kandungan bagi versi Malaysia dan versi Indonesia,
tetapi ada contoh-contoh yang mungkin berbeza. Di Malaysia, pedoman ini
dinamakan Pedoman Umum Pembentukan
Istilah Bahasa Malaysia (PUPIBM), yang kemudian diubah kepada Pedoman Umum Pembentukan Istilah Bahasa Melayu.
Di Indonesia, pedoman ini dinamakan Pedoman
Umum Pembentukan Istilah Bahasa Indonesia. PUPIBM merupakan pedoman yang bersifat umum, yang boleh diterapkan
oleh pelbagai bidang ilmu. Di samping itu, ada bidang ilmu yang memerlukan
pedoman khusus dalam pembentukan istilah, misalnya bidang Kimia dan Agama
Islam. Oleh itu, MBIM sejak awal lagi memberi ruang kepada pembentukan Pedoman Khusus Pembentukan Istilah.
~Darah hanyir mengalir dari mulutku~
Rabu, 2 Mei 2012
(38) Perancangan Korpus Bahasa (3) – Perancangan Istilah
Dalam konteks perancangan korpus bahasa Melayu, perancangan
perbendaharaan kata khususnya merupakan perancangan istilah. Istilah ialah kata
atau gabungan kata yang mendukung konsep khusus dalam bidang-bidang ilmu.
Perancangan istilah bermakna pembinaan istilah dalam bidang
ilmu menurut sistem bahasa yang ada secara teratur supaya peraturan yang
digunakan bagi satu bidang ilmu diterapkan juga dalam bidang-bidang ilmu yang
lain.
Pembinaan istilah dalam bahasa Melayu bermula dengan
wujudnya Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada tahun 1956, tetapi usaha dalam
pembinaan istilah berjalan dengan rancaknya mulai awal tahun 1960-an.
Jawatankuasa bagi bidang-bidang ilmu tertentu, seperti sains, ekonomi, dan
linguistik telah ditubuhkan oleh DBP untuk menggubal istilah bagi masing-masing
bidang ilmu. Ahli-ahli jawatankuasa itu terdiri daripada pensyarah universiti
dan maktab perguruan. Oleh sebab sehingga tahun 1969 hanya ada satu universiti
di Malaysia, maka ahli-ahli yang menganggotai jawatankuasa istilah adalah dari
Universiti Malaya sahaja.
Jumlah jawatankuasa mula bertambah selepas tahun 1972 dengan
bertambahnya bidang ilmu yang diajar dalam bahasa Melayu apabila ditubuhkan
Universiti Sains Malaysia (1969) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (1970).
Pada masa yang sama, universiti-universiti tempatan juga mempunyai jawatankuasa
istilahnya sendiri dalam usaha memenuhi keperluan pengajaran bidang-bidang ilmu
yang ditawarkan melalui bahasa Melayu. Tidak ada satu pedoman pembentukan
istilah yang diikuti bersama oleh jawatankuasa-jawatankuasa ini. Masing-masing
mempunyai kaedah sendiri. Pedoman umum yang diikuti oleh semua ahli
jawatankuasa baru dibentuk bersama oleh Malaysia dan Indonesia dalam Majlis
Bahasa Indonesia-Malaysia (MBIM) pada tahun 1975.
~Darah hanyir mengalir dari mulutku~
Selasa, 1 Mei 2012
(37) Perancangan Taraf Bahasa (2) – Dasar Bahasa (Dasar Bahasa Kebangsaan dan Dasar Bahasa Rasmi)
Hal-hal yang
bersabit dengan penggunaan bahasa termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan
(kini Perlembagaan Malaysia). Dasar bahasa ialah peraturan pemilihan bahasa
dalam penggunaannya dalam masyarakat untuk mewujudkan kecekapan dalam
pengurusan dan pentadbiran negara. Dasar bahasa juga melibatkan pemberian taraf
dan peranan bahasa-bahasa yang ada dalam negara.
Dasar bahasa
kebangsaan Malaysia dinyatakan dalam Artikel 152 Perlembagaan Persekutuan.
Artikel ini dengan jelas menyatakan bahawa bahasa kebangsaan Malaysia adalah
bahasa Melayu. Dengan bahasa kebangsaan dimaksudkan bahasa yang merupakan
lambang kedaulatan negara, dalam erti kata bahawa bahasa inilah yang menjadi
lambang identiti negara, sama halnya dengan bendera kebangsaan dan lagu
kebangsaan.
Dasar bahasa rasmi ialah
dasar yang menyatakan bahasa-bahasa yang boleh digunakan dalam situasi rasmi
dalam kehidupan sesuatu negara. Misalnya, bahasa rasmi digunakan dalam upacara
rasmi seperti ucapan pembukaan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri, perbahasan
di Parlimen dan Dewan Undangan Negeri, pertabalan Yang di-Pertuan Agong dan
Raja-Raja Melayu, upacara rasmi yang diadakan oleh badan kerajaan dan badan
berkanun, serta juga tulisan rasmi seperti surat rasmi dan laporan yang
dikeluarkan oleh badan-badan berkenaan.
Isnin, 30 April 2012
(36) Perancangan Bahasa (1) – Perancangan Taraf Bahasa dan Perancangan Korpus Bahasa
Perancangan bahasa ialah tindakan yang membawa kepada
perubahan dalam aspek-aspek penggunaan bahasa dan juga dalam bahasa itu
sendiri, seperti yang dikehendaki oleh masyarakat. Perancangan bahasa boleh
dibahagikan kepada perancangan taraf bahasa dan perancangan korpus bahasa.
Perancangan taraf
bahasa melibatkan perancangan yang memberikan taraf kepada bahasa-bahasa
yang ada dalam sesuatu negara yang dilihat dari segi peranan bahasa-bahasa itu
dalam pengurusan dan pentadbiran negara, dan peranannya dalam kehidupan
masyarakat berbilang bahasa. Di Malaysia, perancangan taraf bahasa merupakan
satu agenda penting apabila Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada tahun 1957
dari pemerintahan kolonial British. Bahkan tindakan perancangan itu telah pun
bermula sebelum kemerdekaan tercapai, dengan penggubalan Perlembagaan
Persekutuan 1957 yang dilakukan oleh Suruhanjaya Reid.
Yang dimaksudkan dengan perancangan
korpus bahasa ialah sistem tulisan, ejaan, dan perbendaharaan kata.
Perancangan sistem-sistem ini bermakna pemilihan setiap satu sistem yang
dianggap paling baik dalam membina bahasa Melayu. Oleh sebab itu, perancangan
korpus bahasa dikenali juga sebagai pembinaan bahasa.
Jumaat, 27 April 2012
(35) Kesantunan Bahasa 5 – Bahasa basahan
Bahasa basahan ialah bahasa yang digunakan dalam perbualan
sehari-hari antara penutur yang cekap berbahasa Melayu, terutamanya penutur
asli. Variasi ini tidak digunakan dalam tulisan, kecuali dalam dialog drama
atau dialog yang merupakan sebahagian daripada novel atau cerpen.
Berbeza dengan bahasa formal, bahasa basahan tidak
menggunakan seluruhnya ciri-ciri formal yang ada dalam bahasa. Dengan itu,
dalam bahasa basahan, ayat-ayatnya tidak panjang, dan sebahagian besarnya
terdiri daripada ayat selapis. Ayat-ayat selapis pun sering juga dipendekkan,
misalnya dengan menghilangkan bahagian-bahagian tertentu, seperti subjek,
predikat, atau adverba menurut yang sesuai dengan jalan perbualan.
Bahasa basahan bukan bahasa yang tidak baik, atau yang melanggar
peraturan nahu. Dalam bahasa basahan juga dimasukkan kata pinjaman daripada
bahasa asing atau juga kata dialek tanpa merosakkan jalan bahasa.
Perbualan dalam dialek juga boleh dianggap sebagai bahasa
basahan kerana dialek-dialek seperti dialek Kedah, Perak, Kelantan, Sarawak,
dan sebagainya adalah bahasa Melayu. Dalam dialek banyak ciri formal
ditiadakan.
Contoh kata dalam bentuk yang dipendekkan adalah kata tugas tu (itu), ni (ini), nak (hendak), dah (sudah), tak (tidak), kan (bukan),
ke (kah), dan kata penghubung tapi (tetapi). Oleh sebab ayat dalam
bahasa basahan adalah pendek-pendek, maka sering pula subjek dan kadangkala
predikat dalam ayat ditiadakan. Misalnya, dalam ayat Ke dusun?, subjek dihilangkan. Kata kerja dalam bahasa basahan
kerap kali tidak diberi imbuhan terutamanya awalan, seperti dalam ayat Takkan anak saya buat macam itu.
Langgan:
Catatan (Atom)